Friday, August 28, 2009

Kisah Cinta?

Kawan-kawan selalu bertanya '' siapa yang kaurindu, siapa yang ada di dalam hatimu? Jawapan tiada sesiapa. Yakah? Atau sedang berpura-pura. Ceritalah! Lalu hari ini ingin aku bercerita lagaknya seperti tok dalang wayang kulit enak bercerita. Kisahnya begini...
Aku seorang yang pemalu sebenarnya. Zaman persekolahanku banyak kuhabiskan bersama-sama rakan perempuan sahaja. Walaupun aku petah bertutur tetapi itu hanya ketika aku menyertai syarahan dan pidato semata-mata. Selain itu tidak ada suara yang aku sumbangkan. Cinta? Tragis sungguh bila menyebut perkataan itu. Aku tidak pernah bercinta dan tetapi aku dalam diam meminati senior di sekolahku dulu. Sehingga kini tiada sesiapa pun yang tahu akan sebab kenapa aku meminatinya. Pada aku, dia biasa-biasa sahaja tetapi segak dan berkarisma. Setiap hari aku akan melihat dan menanti kehadirannya. Bahagia sungguh situasi ketika itu. Walaupun hanya aku yang tahu. Sayangnya, tamat sahaja persekolahannya, aku sudah tidak berjumpanya. Langsung tidak bertemu sehingga kini. Mungkin masing-masing sudah berubah rupa paras lalu berselisih bahu manakan boleh mengenalinya. Orang kedua yang aku suka ketika zaman persekolahan dulu merupakan pelajar dari sekolah berhampiran. Lucunya. Aku mengenalinya ketika menyertai kem pembimbing rakan sebaya. Pelajar sekolah agama. Namanya harus aku rahsiakan. Dia yang memulakan semuanya. Dia berkirim salam melalui rakanku. Aku menjadi malu-malu alah. Dara pingitan. Namun batasan masa dan tempat menyebabkan harapan menjadi air yang mengalir hentiannya di mana aku sendiri tidak pasti. Pernah kami bertembung di perhentian bas ketika aku menjadi mahasiswi, namun hanya pandangan kosong sahaja antara kami. Begitulah kisah cinta aku ketika masih anak persekolahan. Cita-cita yang kujunjung membatasi segala cinta untuk aku berjaya. Kisah cinta di universiti...? Emmmm... nantilah...

Aku dan cita-cita

Dulu kala masih anak sekolah, aku selalu bercerita tentang cita-cita. Cita-citaku setinggi langit. Hebat sekali. Tatkala cikgu bertanya apa cita-citaku, aku dengan gahnya menyatakan ingin menjadi penasihat undang-undang kerajaan Malaysia. Rakan-rakan sekelas bercengang-cengang bila mendengar butiran cita-citaku. Anehnya, aku tidak pernah kenal siapa hakim negara, peguam negara dan penasihat undang-undang negara tika itu. Lucu sekali! Pabila usia menginjak belasan tahun, aku sudah mula menetapkan cita-cita di zaman anak hingusan menjadi kenyataan. Cikguku kata jika ingin menjadi peguam perlu mendapat A dalam subjek sejarah. Anehnya. Jadi peguam kena mahir sejarah? Apa kaitannya? Subjek sejarahlah antara subjek yang paling aku tidak minati. Namun, kerana cita-cita ingin menjadi peguam harusnya aku meminatinya. Sayangnya jika tidak minat dan tiada kesungguhan makanya keputusan PMR dan SPM serta STPM ku untuk subjek sejarah tidaklah sehebat mana. Akhirnya, aku mula berfikir. Layakkah aku ingin menjadi peguam hanya kerana kepetahan aku berkata-kata. Seorang rakan sekolah selalu menggelarkan aku loyar buruk. Katanya aku ini ada tokoh untuk jadi 'lawyer' tapi perlu ditambah perkataan buruk. Terbahak-bahak kami ketawa. Sesekali pulang ke kampung aku terjumpa rakan-rakan sekolah mereka masih menggelarkan aku loyar buruk. Loyar buruk pun loyar buruklah asalkan aku kini punyai kerjaya yang tetapi dan tidak pernah tercatat di kad 001 yang perlu diisi tiga cita-cita. Kerjaya apa yang aku lakukan sekarang biarlah aku sahaja yang tahu. Pentingnya, kepetahan bertutur masih aku aplikasikan sehingga kini. Kepada rakan-rakan sepejuangan dulu terima kasih kerana sentiasa mengingati aku akan cita-citaku sebagai penasihat undang-undang kerajaan Malaysia sentiasa segar walaupun aku berbahagia dengan kerjaya dan cita-cita terbaharu ini.

Aku dan diriku

Selalunya kita memang akrab dengan diri sendiri tetapi adakalanya kita sendiri tak faham akan diri sendiri.. emm apa maknanya itu? masalah kejiwaan agaknya. Setiap individu mempunyai pelbagai masalah diri. Persoalannya, sukarkah orang lain untuk memahami pemasalahan itu. Ya, tentulah sukar. Kalau semua orang faham pastinya tiada masalah. Seminggu yang lalu saya pulang ke kampung. Hari pertama sampai perasaan saya biasa-biasa saja. Tiada apa yang menyesakkan perasaan dan fikiran. Hari kedua, perasaan sudah bercampur baur. Marah, geram, tidak puas hati, sedih, rindu semuanya ada. Saya menyoal diri sendiri. Apakah yang saya mahukan. Entah! Saya pun tidak pasti apa yang saya mahukan. Saya berperang dengan perasaan sendiri. Akhirnya, saya menjadi lesu. Lesu kerana terlalu banyak berfikir tentang perasaan. Lalu saya bercerita dengan seorang rakan. Rakan saya berkata-kata. Barang kali saya ini terlalu kuat berkerja. Jadi apabila bercuti dan tiada kerja saya jadi buntu dan bermain dengan perasaan yang entah apa-apa. Saya terkedu. Adakah saya seorang yang kuat berkerja. Lalu saya muhasabah diri. Ya, benarlah. Saya terlalu banyak berkerja. Terlalu banyak menggunakan otak untuk berkerja. Jadi apabila saya tidak berkerja saya jadi tidak tentu hala.
Rakan saya mencadangkan agar saya berjumpa dengan kaunselor. Katanya itu satu cara untuk memudahkan saya mencari diri saya sendiri. Sayangnya, saya mempunyai tahap ketidakpercayaan terhadap kaunselor terlalu tinggi. Hal ini kerana, saya mempunyai satu peristiwa yang sangat menyakitkan hati. Lalu, rakan saya mencadangkan saya bercerita dengan seorang ustazah. Sayangnya, saya tidak ada ustazah yang saya kenali dengan sangat mendalam. Akhirnya rakan saya kehabisan idea. Saya dalam senyuman yang manis dan berkata kepada rakan saya itu.. aku ada kekasih.. Allah SWT.. sayangnya hingga kini aku masihlah mencari cintaNYA. Rakan saya terkedu. Rakan saya hanya mampu menggelengkan kepalanya sahaja. Sebelum dia berlalu, rakan saya ada berkata sesuatu.Katanya, selain cinta ALLAH, kau kena cari cinta manusia. Buka mata dan buka hati. Kata-kata itu membuatkan saya tertunduk. Layakkah saya untuk memiliki cinta manusia? Sedangkan cinta Allah masih jauh perlu saya kejar. Sepanjang pemanduan pulang dari bertemu rakan, saya asyik berfikir. Siapa diri aku sebenarnya. Apa yang aku cari dan apa yang aku mahukan dalam kehidupan ini? Namun hingga hari ini aku masih berkonflik diri untuk mencari diri. Doakan agar saya menemui diri saya yang sebenarnya dalam ramadhan Al Mubarak ini. Allahu aqlam.

Tuesday, August 18, 2009

Aku dan Virus..

Minggu lalu, saya bercuti kerana dikuarantin gara-gara virus influenza A HINI..sepatutnya kita dikuarantin di rumah sayangnya masih ramai yang tidak endah akan arahan ini. Hemm musibah apakah ini sebenarnya? Cuti itu sememangnya sangat menjemukan... segala buku yang ada di rak habis dibaca. Akhirnya, saya keluar juga dari rumah. Ahhhh nyaman sungguh.. namun masih berjaga2... Pakailah penutup mulut untuk mengelak dari terkena jangkitan ini..

Thursday, August 6, 2009

Sabarlah Sayang

Sinaran sang pelangi
Turut merasakan
Betapa ku rindu
Kepadamu

Di mana kan ku cari bayangan wajahmu
Untuk mengubati rinduku ini
Sumpah setia kau ucapkan
Apakah bagai mimpi
Hilang di pagi hari
Oo... oo... oo... oo

Sedang katamu dahulu
Hanyalah kepadaku
Kau berikan cintamu

Kasih
Dengarlah resah hatiku
Yang masih lagi setia
Menunggu mu sayang
Kasih
Walau bumi akan bergoncang
Ku tak ingin kita terpisah
Bercerai cinta
Oo... oo... oo... oo

Sabarlah sayang
Sabar menunggu
Aku kan datang ke sisimu
Kasih
Ku harus rindu
Kupancung resah
Membebaskanmu yang sedang kerinduan
Sayang...

Hulurkanlah tanganmu
Biarkan kugenggam
Isyarat cintamu
Di jejariku
Oh... oh... sayang

( my favourite song.... dedicated to him...)

16 Ogos

biar pun tanggal itu masih lammbat namun tidak pernah sekali pun terlupa dari ingatan ini. saban tahun aku mengingatinya. seharusnya aku tidak perlu mengingati lagi perkara itu... tetapi itu sahaja yang mampu mengubat segala keresahan hati... selamat hari lahir untuk dia....... semoga sentiasa berbahagia di sisi yang menjadi kesayanganmu kala ini. semoga dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur. Izinkan aku untuk terus mengingatimu... kerana mengingatimu adalah kekuatan hati untuk meneruskan hari-hari yang masih berbaki. Selamat hari lahir ke 31...mohon kau jua masih mengingatiku selalu..

akukah yang menangis itu...

penat ini aku layarkan pada petak-petak siling
kipas berputar ligat
langsir bergentayangan di jendela

penat ini aku nyenyak pada bantal rehatku
lengan-lengan lesu memaut erat
kejap aku dalam lena

aku sendirian
aku menangis
tapi mengapa..
adakah kerana kesedihan yang sentiasa bergayutan di hatiku
atau aku melayan kepenatan diri

akukah yang menangis itu
di sisisnya seorang yang asing
memandang
dengan penuh kasih

akukah yang menangis itu sayangg?

Bagan Lalang - Holiday

















tq for everything my dear fren... next holiday will come to endup this year with full of warm heart touch.




sweet memories...


bila semuanya telah pergi membawa haluan sendiri... yang tinggal hanya kenangan semanis ini....


Jauh Menyendiri

Akhirnya satu keputusan telah ku buat untuk diri sendiri. Aku membawa diri jauh dari kepompong kehidupan yang penuh keserabutan. Aku hidup berdikari. Aku sendiri-sendiri. Jauh juga pelarian ini. Demi menjaga hati sendiri agar tidak menjadi lebih parah. Sebenarnya aku terlalu penat. Penat dengan melayan rasa hati. Hidup sendiri aku lebih tenang. Tenang seadanya. Aku masih mencari...mencari diri yang hilang kala diri berada dalam keserabutan. Doakan aku selalu..

Friday, July 10, 2009

Aku masih di sini

Begitu pun jauh jarah memisahkan keadaan yang lalu dan kini... namun aku masih setia bersama kenangan. Kenangan itulah menjadi penguat untuk aku teruskan kehidupan ini. Kenangan itu sentiasa berbau segar... wangi dan mengharum walaupun hanya aku yang menghidunya. Aku masih boleh tersenyum bersama hari -hari yang kian berlalu maka akulah yang masih di sini. Aku tidak pula mencari kenangan baharu untuk menghiasi hariku. Cukuplah kenangan itu. Aku sudah berjerih untuk semua itu. Akan aku harungi dengan penuh ketenangan seperti tenangnya genangan airmata di kolam pelupuk mataku. Akan aku gagahi dalam tenang perasaanku. Akan aku tabahkan hati. Berdoalah untukku....agar aku jua gembira seperti dirimu... pintaku... usahlah lukai hati ini lagi...kerana aku masih di sini..

Tuesday, June 30, 2009

Himpunan Rasa II

Ini Kisah Rindu

Ini kisah rindu
Dari hati yang luka
Dari jiwa yang lara
Ini kisah rindu
Dari kerdipan mata sayu
Dari renungan mata syahdu
Ini kisah rindu
Dari nafas menderu lesu
Ini kisah rindu
Dari lidah yang kelu
Dari kata – kata tidak berlagu
Ini kisah rindu
Dari aku untuk dia
Dari seluruh kehidupan yang tak pernah jemu.

OBC, Melaka
11 dis 2008-12-11



Puisi buat dia

Inginku dendang buat lenamu
Inginku alun buat tenang jiwamu

Puisi ini
Kulagukan untuk redakan rindumu
Kulagukan agar kental semangatmu

Puisi ini
Hamparan kasihku yang tidak berbelah bahagi

Pengkalan Balak
12 Dis 2008

Himpunan Rasa

Orkid

Melihatmu aku kagum
Menghampirimu aku tergamam
Memegangmu ku ingin petik
Baumu nan lembut
Menyentap sukma ku

Merah mentari ; jingga nan senja
Putih kapas, kuning ceria,ungu gemilang
Ahhh.... aku tandus rasa teruja

Ku petik sekuntum..
Ku semat di sanggul..
Harummu menyubur

Dudukmu berbeda
Kembang mu dipuja
Layu mu dibelai mesra
Liuk lintuk mu terjaga


230 pm
Taman Orkid
Kuala Lumpur
29/3/2008


Cintaku menangis di Tanjung Tuan

Ku titipkan angin senja kedamaian
Padamu nun.... jauh.....
’’Bisikan padanya wahai angin menderu
Rasa yang makin menghimpit sanubariku”

Ombak yang menghempas
Menyindir ku!
Mencemuhku!
Akulah pencinta yang gagal


Kekasihku yang membawa aku
Menikmati keindahan Tanjung Tuan

Bawah pokok Rhu
Redup!

Maafkan aku Kekasih
Aku rela terima hukuman ini
Hukumlah aku!

Aku isak-isak pedih dan sedih
Kekasihku mengapa
Kau biar cintaku menangis

Menangislah cintaku..
Menangislah kerana cintaku menyintai yang ESA
Menangislah cintaku kerana LILAHI TAALA
Menangislah cintaku kerana kehidupan akhirat
Menangislah cintaku kerana kau tidak dilaknat
Menangislah cintaku kerana kehidupan akhir zaman

Menangislah cintaku bersama
Ayat-ayat cinta kalam Allah

Menangislah cintaku...
Mencari kerehdaan
Sebelum buku hisab ditutup..


15/4/08
Residence Desa Lagoon. PD


Hanyut

Musim – musim rindu kian lesu
Mengalir dari hati yang pilu
Tangisan merintih
Sayu mendayu

Pengorbanan diri
Tiada yang simpati
Mengharap kasih
Pada dia yang telah pergi
Luka aku sendiri
Tawa dalam tangisan..

Biarlah berlalu segala kepalsuan itu
Hatimu... milikmu
Kasihmu pada yang sudi
Usah biar terluka pedih
Perjalanan ini masih jauh diharungi.

Berdiri kasih di hujung senja
Melihat mega cinta beransur hilang
Kelam dalam tawa
Diam dalam kata
Jiwa... hanyut dalam rasa...

Tanjung Bidara 12/12 2008


Tanpa Tajuk

Kekasihku..
Bersinar bagai embun
Diintai sang mentari pagi
Berkilauan terbias cahayanya
Hilang dalam pandangan

Masihkah ada dihatimu
Sejuta perasaan rindu..
Kala masih bersama
Menghitung pelangi petang
dalam renyai hujan

kekasihku..
tidakkah kautahu
dinding harapan yang kita bina
masih lagi utuh
puas ku pertahankan
andainya runtuh dan berserakan
maafkan aku.

Kekasihku
Kutinggal lembayung rindu
Bersama impian dijendela harapan
Moga kita dipertemukan..

OBC Melaka
3 Feb 2009

monolog dalam rasa

Sudah sebulan jari jemari ini kaku untuk menarikan kata-kata. Fikiran menjadi lesu hingga tiada bilah bahasa yang dapat kurautkan lagi. Kepenatan ini kadangkala menghanyutkan aku dalam lena. Berjerih seharian tanpa ada ruang masa untuk membelai jiwa akhirnya diri menjadi ranting kayu yang mati dan berguguran bersama daun-daun kering kekuningan. Bulan yang lalu, kehidupan ini seperti layang-layang putus tali. Terbang mengikut angin.Akhirnya tersadai di perhentian yang tiada jalan keluar. Aku lagi kelu dan termangu dalam keliru. Akukah itu? Atau itu hanya dejavu. Bulan lalu juga aku melepaskan setiap yang ada di sisiku pergi mengikut kehendak diri sendiri. Jangan mungkirinya untuk kembali kerana aku sudah tidak sudi. Pergilah sejauhnya. Dan jangan mengharapkan aku menagih dengan kata-kata berbunga rindu. Sesungguhnya aku sangat benci! Hari ini aku semakin keras hati. Sekeras-kerasnya. Kerana yang berlaku menuntut aku menjadi seperti itu. Mana mungkin aku aku berpaling. Aku benci pada kedukaan. Selepas ini jangan menyapa aku jika akhirnya duka yang ditinggalkan. Hemm kadang kala monolog sebegini bisa buat aku senang. Yang terbuku di hati bisa lepas. Bebas. Aku mampu tersenyum walau sebelumnya aku terlalu banyak menangis. Terima kasih atas segala kedukaan ini. Betapa Allah itu Maha Mengetahui dan Penyayang. Amin.

Wednesday, May 20, 2009

Akhirnya Aku Menangis

Semalam hatiku menjadi sebak. Sebak ini telah lama aku simpan.Bertahun lamanya. Aku makin keliru dalam mengharungi perjalanan ini. Sukar amat. Berjerih aku untuk melupakannya. Dalam pembaringan yang lesu, airmata mengalir. Aku amat sedih. Sedih ini tidak tertanggung rasanya. Akukah itu sebenarnya yang mengharungi kegetiran ini. Kenapa aku sendirian. Telah lama kuusung iwa yang tidak tenteram ini. Lukanya aku ubati sendiri. Pilunya aku rintih sendiri. Sampai hari ini. aku nekad untuk membuang segala kedukaan yang terkepung di dalam hati ini. Aku ingin jiwa ini tenang. Menghijau seperti rimbunan dedaun. Aku ingin menjadi setegar mentari. Perit malah menyinari. Aku ingin buang semuanya. Semuanya yang menyakitkan hati ini. Semua yang melukakan hati. Semuanya yang mendustai diri. Berdirilah aku kembali. Seteguh utuh kota jiwa yang penuh harapan. Seteguh iman. Berdoalah untuk aku juga sahabat, agar aku mampu tersenyum dan menghirup udara yang nyaman dalam mencari kasih ILLAHI. Amin.

Wednesday, April 15, 2009

Inilah Janjiku


Mac lalu saya sudah bergraduat dari sebuah universiti. Saya peroleh apa yang saya janjikan. Saya hadiahkan kejayaan saya ini kepada ibu bapa dan ahli keluarga saya. Dan kejayaan ini saya hadiahkan kepada dia yang telah jauh pergi meninggalkan saya. Tapi saya tetapi berjanji untuk menunaikan janji saya pada dia. Semoga dia berbahagia dengan kehidupan yang dia pilih itu.

Rindu..

rindu sangat pada blog tersayang ini. Sudah lama tidak menatap dan menarikan jemari manja dikartu maya ini. Sebenarnya masa begitu mengongkong diri ini dari terus bermonolog sendirian tentang kehidupan. Kadangkala warna -warna kehidupan sering kali pudar dan kelam dalam kesibukan yang tiada penghujungnya. Adakalanya terlupa akan kewujudan diri sendiri. Sekali sekala terlupa langsung akan kehudpan yang begitu gemilang di luar sana. Ah, seperti mendung yang pastinya hujan. Bila sendirian ternyata jiwa ini sangat kosong. Sekosong angin yang menyapa wajah sedih. Tawa dalam tangisan tiada garis penamatnya. Airmata kadang-kadang tertumpah tanpa ada haluan. Terkenang dan mengenang sesuatu yang menyesakan dada. Rindu dan merindui sesuatu perit. Maka tinggalah hati yang kaku sebelum ajal menjemput pergi. Itulah aku!

Friday, March 6, 2009

kiri kanan jalan kehidupan

kehidupan ini adakalanya sangat pelik.Terlalu baik pun susah. Jadi jahat pun susah. Jadi mana jalan yang harus ditujui. Penat juga memikirkannya. Takkan nak jadi orang atas pagar. Itu lalang namanya. Semalam orang atasan saya telah mengeluarkan satu statement bahawa saya ini seorang yang tidak peduli tentang orang lain. Iye lah betullah tu. Apa saya peduli dengan orang lain. Saya tak kacau orang jadi saya juga berharap orang tidak mengganggu saya. Buat apa sibuk-sibuk nak jaga tepi kain orang bimbang nanti tepi kain sendiri terkoyak langsung tidak sedar! kesimpulan dari kes itu, saya telah memberi nasihat untuk diri saya agar teruslah dengan apa yang saya lakukan. Saya tidak mahu tambah dosa dan juga tidak mahu kekasih saya yang satu itu jauh dari hidup saya yang sememangnya dikelilingi duri-duri semalu yang berbisa! sayangilah diri anda!

Sunday, February 15, 2009

Yang Hilang

pernahkah kau rasakan
keperitan hidup ini
laluan sukar yang berliku
gagahi aku lalui

masih adakah ruang ketenangan
dalam kalut jiwa meronta
Hati bagai dibunuh kejam
hilang dari jasad yang lesu

kembalikan padaku
ketenangan jiwa
Kejujuran kata
Ketulusan hati.

penat sudah berlari
mengejar mimpi-mimpi
kembalikan diriku
yang hilang keranamu..

Jiwa yang Kering

Berapa banyak topeng yang kau pakai
wajah dustamu pasti akan terserlah
Berapa banyak talam mukamu
Air muka fitnahmu akan mengalirkan dosa
Berapa banyak umpat kejimu
sekeji itulah nafas hidupmu
Berapa banyak jelingan bencimu
Segunung kebencian mengepung hidupmu

Jiwa yang busuk
Jiwa yang makin bernanah
Jiwa yang bongkak berkata-kata
Itulah jiwa yang kering
Sekering sungai pahala dirimu!

sekuntum mawar merah di bulan Februari

Februari ialah bulan yang paling berharga buat saya. Inilah bulan kelahiran saya. Selamat Hari Lahir untuk saya. Saya mengharapkan sekuntum bunga mawar berwarna merah pada hari lahir saya tahun ini sayangnya saya hampa. Saya tidak berkesempatan untuk membeli walau sekuntum mawar merah untuk diri saya. Kenapa saya mencari mawar merah? mawar merah bagi saya begitu unik. Warna yang menarik mampu mencuri hati. Merah itu keberanian. Mawar mewar juga lambang cinta saya kepada seseorang yang telah pergi jauh meninggalkan saya. Namun hati saya terubat, walaupun tanpa sekuntum mawar merah tetapi rakan-rakan saya telah memberi saya satu kejutan. Mereka meraikan hari lahir saya. Terima kasih kawan-kawan. Begitu juga dengan pelajar-pelajar saya yang membuatkan hari lahir saya begitu istimewa. Di dalam kelas mereka menyanyikan lagu disamping hadiah-hadiah dan kad ucapan. Sesungguhnya bukan itu permintaan saya. Cukup seandainya pelajar-pelajar saya dapat menggembirakan hati saya. Namun terima kasih untuk semua. Februari ini juga saya menitiskan airmata. Airmata kekesalan kerana perbuatan seorang rakan. Saya ditikam dari belakang. Selama ini saya menyangkakan dia seorang yang baik rupanya saya terkeliru bahawa hati manusia sangat berbeza. Terima ksaih Ya Allah kerana menjentik diri hamba Mu yang jahil dan lemah ini agar sedar dari kelalaian. Ya Allah ampunilah dosaku.

Monday, January 26, 2009

Hanya di radio

Dunia hiburan sekarang ini begitu hangat dengan muzik dari negara jiran. Kadang-kadang malas nak dengar radio tetapi ada satu channel radio yang sangat saya gemari iaitu sinar fm. Aduhaii lagu lagu memang best. Lagu - lagu evergreen. sekarang kalau sehari tak dengar rasa macam tak cerialah. Kalau anda tak percaya cubalah dengar sinar fm. Hanya di radio ku mendengar suaramu.. bilalah agaknya dapat jadi DJ ni. DJ part time pun ok jugak.

Sunday, January 25, 2009

Selamat Tahun Baru Cina

Firstly saya hendak mengucapkan selamat tahun baru cina kepada sahabat saya Ms Pang Mary yang pastinya begitu seronok menyambut perayaan ini. Semoga tahun lembu ini anda lebih berjaya. Sebagai rakyat Malaysia pastinya seronok kerana pelbagai perayaan boleh disambut. Lepas ni perayaan apa pulak yea? Hahh.. tengok-tengoklah kalendar! Tahun ini juga ramai dalam kalangan sahabat saya yang menimang cahaya mata. Rakan sahabat yang terdekat ramai yang menimang cahaya mata lelaki. Itulah rezeki namanya. Tidak lama lagi usia saya akan bertambah dari angka ganjil kepada angka genap. Aduhaiii... tidak sedar masa semakin pantas berlalu.. rasanya maca baru setahun yang lalu berusia 17 tahun hehehheheee.....Februari ini..usia saya akan bertambah...sahabat-sahabat terdekat sibuk bertanya itu dan ini.. jadi saya pun menjawablah.. saya sebenarnya sangat sibuk itu dan ini.. bijak saya kan.. Anyway.. kepada yang merindui saya... telefon la saya tak payah simpan kredit tu hehehehhe.. kepada kawan-kawan yang mengenali diri semoga kalian sukses selalu...jangan lupa... senyumlah selalu... senyum seindah suria yang membawa cahaya.. senyumlah dari hati duniamu berseri... Gong Xi Fa Cai...

Wednesday, January 14, 2009

Inilah Gambarnya...





Jaga Kesihatan..

Sejak awal tahun baharu yang lalu, saya dan rakan serumah sudah ada aktiviti baharu yang kami akan lakukan bersungguh-sungguh( sebelum ini pun selalu bersungguh-sungguh tapi entahlaaaa...)
Kali ini kami memang nekad untuk beriadah setiap petang. Bukan apa, maklumlah usia sudah meningkat bimbang pula nanti disergah penyakit tidak bersuara... kata orang cegah sebelum parah.. (walau hakikatnya kami sebenarnya memang sudah parah...hehehehhee... ) bukan itu sahaja, rakan serumah saya ini juga hanya makan sayur... ( eeewaah boleh tahan ke?) Saya hanya mengamalkan diet sihat ( sihat bagi kami.. orang lain entahlaaa..) Saya dan rakan tidak mengambil nasi dalam diet yang kami kira sihat untuk kami yang bersaiz L ini. ( Walaupun kami bersaiz L tetapi kami punyai stamina yang kuat..) Setiap petang kami akan jogging di tepi pantai yang indah....Lepas jogging kami akan duduk diatas batu-batuan sambil menikmati angin petang...
(inilah senaman yang paling sihat) Kemudian kami akan berjalan dan ketawa... ketawa dan ketawa...( sihatkan senaman kami? jangan terkejut andai bertemu kami yang lebih muda 5 tahun dari usia sebenar!) Oleh itu, mari semua.. kita jogging... ketawalah lagi.....
Sambil jogging dapatlah snap beberapa picture yang boleh menyebabkan ketawa..... ketawa.... ketawa..... ( We're single tau !)



Sunday, January 11, 2009

Bermulalah diari kehidupan

Dahulu, semasa saya masih budak hingusan, emak saya selalu menyatakan hajat dia yang ingin melihat saya menjadi seorang teacher. Emak saya sangat pandai berbahasa inggeris. Katanya lagi.. kalau nak jadi teacher kena selalu rajin baca book. Jadi, Sebelum masuk darjah satu, perkatan bahasa inggeris yang saya tahu book dan teacher. Hebatkan!. Hari ini setalah hampir 30 tahun saya bernafas, saya telah menjadikan impian emak saya kenyataan. Saya jadi cikgu. Cikgu atau teacher sama aje. Berkhidmat pun di tempat yang sama. Dahulu, emak saya kata kerja cikgu ini sangat mulia. Saya rasa sangat bangga pada masa itu kalau saya menjadi guru. Hari ini, saya merasakan kemuliaan itu semakin pudar atau semakin dipandang sepi. Adengan hari ini sudah ada guru yang dicaci, maki, hina malahan ada yang meringkuk di penjara. Apakah kemuliaan yang emak saya maksudkan itu. Hari ini saya melihat dengan mata saya sendiri, pelajar-pelajar kita galak berpeleseran. Menghalalkan yang haram. Pelajar - pelajar kita cemerlang tetapi sahsiahnya zero. Kita senyum bangga. Bangga kerana kita hari ini melahirkan generasi menyamai taraf Israel!!! Kasihanilah kami warga pendidik. Penat kami bukan untuk dibayar. Kami ini pendidik. Pendidik umat Nabi Muhammad. Allahu Akbar! Allahu Akbar! AllahuAkbar!
Seminggu sudah berlalu. Saya kembali sibuk dengan tugasan seperti PM. ( PM bukan Perdana Menteri tetapi Pendidik MARA). Aduhai,,banyak sungguh kerja yang harus diselesaikan. Tetapi menulis tetap menulis. Emak saya selalu mengeluh, semenjak saya menjadi pendidik saya sudah kurang masa untuk pulang ke kampung. Saya juga mengeluh... emak, kerja banyak sangat.. program keliling pinggang... kadang-kadang saya sendiri pun tak tahu yang mana paling penting untuk didahulukan... Kini saya mengerti bahawa tugasan seorang guru itu terlalu sukar sebenarnya.....Pasti saya tidak akan lupa mencatat dalam diari kehidupan akan kepayahan ini..

Kemusnahan

Berita dunia mahupun tempatan sibuk berlumba-lumba menyiarkan kisah duka di GAZA. Kita sebagai manusia yang punyai perikemanusiaan turut bersedih dan bangun menyuarakan ketidakpuasan hati berikutan perkara itu. Namun, Israel yang sungguh dajal itu berterusan menjadi gila. Gila yang tiada tandingan di abad ini. Inilah keadaan gila yang tiada ubat melainkan kematian. Berdoalah kita agar yang terainaya itu diberi kekuatan yang tidak terlintas di fikiran untuk menghapus kegilaan israel. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Sunday, January 4, 2009

Salam Tahun Baru

2008 yang penuh dengan perasaan dan harapan telah berlalu. 2009 sudah berada di landasan. Terpulanglah kepada kita untuk mengaturnya. Azam baru? Kata orang kita kena sentiasa kemas kini azam. Benarkah? Saya tetap meneruskan azam saya yang lalu tetapi dengan penambah baik amalannya. Tidaklah nanti orang kata cakap tidak serupa bikin! Alhamdulillah satu dari azam saya yang lepas telah berjaya saya lakukan pada tahun 2008. Oleh itu, saya tambah satu lagi azam yang saya akan cuba tunaikan dalam tempoh 2 tahun. Insya ALLAH. Apa azamnya ... biarlah rahsia.........kepada sahabat-sahabat saya mohon berdoalah untuk saya juga mudah-mudahan saya sentiasa tenang dan berbahagia serta semakin mekar cinta saya pada Illahi. Amin. Salam Tahun Baru... semoga apa yang kita hajatkan diberkati dan dimurahkan rezeki selalu. Subhanallah! Allahu Akbar!