Kawan-kawan selalu bertanya '' siapa yang kaurindu, siapa yang ada di dalam hatimu? Jawapan tiada sesiapa. Yakah? Atau sedang berpura-pura. Ceritalah! Lalu hari ini ingin aku bercerita lagaknya seperti tok dalang wayang kulit enak bercerita. Kisahnya begini...
Aku seorang yang pemalu sebenarnya. Zaman persekolahanku banyak kuhabiskan bersama-sama rakan perempuan sahaja. Walaupun aku petah bertutur tetapi itu hanya ketika aku menyertai syarahan dan pidato semata-mata. Selain itu tidak ada suara yang aku sumbangkan. Cinta? Tragis sungguh bila menyebut perkataan itu. Aku tidak pernah bercinta dan tetapi aku dalam diam meminati senior di sekolahku dulu. Sehingga kini tiada sesiapa pun yang tahu akan sebab kenapa aku meminatinya. Pada aku, dia biasa-biasa sahaja tetapi segak dan berkarisma. Setiap hari aku akan melihat dan menanti kehadirannya. Bahagia sungguh situasi ketika itu. Walaupun hanya aku yang tahu. Sayangnya, tamat sahaja persekolahannya, aku sudah tidak berjumpanya. Langsung tidak bertemu sehingga kini. Mungkin masing-masing sudah berubah rupa paras lalu berselisih bahu manakan boleh mengenalinya. Orang kedua yang aku suka ketika zaman persekolahan dulu merupakan pelajar dari sekolah berhampiran. Lucunya. Aku mengenalinya ketika menyertai kem pembimbing rakan sebaya. Pelajar sekolah agama. Namanya harus aku rahsiakan. Dia yang memulakan semuanya. Dia berkirim salam melalui rakanku. Aku menjadi malu-malu alah. Dara pingitan. Namun batasan masa dan tempat menyebabkan harapan menjadi air yang mengalir hentiannya di mana aku sendiri tidak pasti. Pernah kami bertembung di perhentian bas ketika aku menjadi mahasiswi, namun hanya pandangan kosong sahaja antara kami. Begitulah kisah cinta aku ketika masih anak persekolahan. Cita-cita yang kujunjung membatasi segala cinta untuk aku berjaya. Kisah cinta di universiti...? Emmmm... nantilah...